Thursday, 15 April 2021

updated 3:59 AM UTC, Apr 15, 2021

Elak kesesakan, ibu bapa perlu patuhi jadual penyuraian murid

  • Published in Berita Semasa

SEREMBAN, 8 Mac- Ibu bapa disaran bekerjasama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), terutamanya semasa proses penyuraian murid sebagai langkah mencegah penularan COVID-19 dalam komuniti.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihak sekolah telah menyusun jadual penyuraian murid dengan pelbagai kaedah, dan ibu bapa diharap dapat mengikut ketetapan yang diberi agar dapat melindungi keselamatan anak masing-masing.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan di Sekolah Kebangsaan King George V, Seremban, Negeri Sembilan, pagi tadi, dengan meluangkan masa sejam dengan meninjau situasi kemasukan murid tahun satu hingga enam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

Hampir tiga juta murid di peringkat sekolah rendah memulakan sesi persekolahan sepenuhnya secara bersemuka hari ini, di seluruh negara.

Sementara itu, mengulas mengenai kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan murid dan guru sejak persekolahan secara bersemuka bermula, Datuk Dr Radzi menyifatkan keadaan masih terkawal.