Thursday, 15 April 2021

updated 7:14 AM UTC, Apr 15, 2021

Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga bukan satu kebebasan mutlak

  • Published in Berita Semasa

ANGKASAPURI, 6 Mac - Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga merupakan satu galakan bukan satu kebebasan mutlak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, program tersebut bertujuan untuk meringankan beban warga Wilayah Persekutuan dan menggalakkan mereka terlibat dalam perniagaan yang boleh mendatangkan pendapatan.

Menurut beliau, selepas peniaga berkenaan mula stabil, mereka diyakini akan mampu melaksanakan pengurusan diri dan perniagaan lebih formal yang selari dengan undang-undang seperti memohon lesen serta mematuhi peraturan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bagi mengupas topik 'Setahun Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin'.

Tan Sri Annuar juga memaklumkan satu syor Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mendapatkan kebenaran penganjuran Bazar Ramadan dan Aidilfitri sedang dirangka dan bakal dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara pada minggu depan.