Thursday, 15 April 2021

updated 7:14 AM UTC, Apr 15, 2021

7 operasi padam kebakaran sedang dijalankan di Selangor, Kedah dan Johor

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA, 6 Mac - Pelbagai kaedah digunakan dalam operasi pemadaman kebakaran termasuk dron dan teknologi baharu dikenali sebagai G.S Mark 3.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, inovasi itu sesuai digunakan untuk kebakaran tanah gambut kerana ia berupaya membuat penyiraman dan membanjiri kawasan kebakaran sehingga ke lapisan bawah tanah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan tujuh operasi memadamkan kebakaran masih dijalankan di tiga negeri iaitu Selangor, Kedah dan Johor melibatkan tanah jenis gambut, kebun dan tapak pelupusan sampah.

Di Selangor, beliau berkata dua dron digunakan bagi membolehkan anggota mengesan sumber air di kawasan yang mengalami kebakaran dengan cepat.

Datuk Seri Mohammad Hamdan memaklumkannya selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Putrajaya.

Beliau berkata, pihaknya menerima 5,754 panggilan kecemasan berhubung kebakaran hutan di seluruh negara sejak Januari hingga kelmarin.