Monday, 8 March 2021

updated 5:21 AM UTC, Mar 8, 2021

Sekolah Maahad Tahfiz di Perak dibenar beroperasi bermula 1 Mac

  • Published in Berita Semasa

IPOH, 22 Februari - Perak membenarkan sekolah Maahad Tahfiz di negeri itu untuk kembali beroperasi bermula 1 Mac ini.

Perkara tersebut diputuskan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kenyataan Yang Dipertua MAIPK, Dato Seri Mohd Anuar Zaini menyebut, bilangan maksimum pelajar yang dibenarkan tertakluk kepada kapasiti ruang asrama dan sekolah.

Ruang belajar, ruang hafalan, ruang solat dan asrama pelajar wajib mematuhi penjarakan fizikal yang telah ditetapkan.

Ibu bapa atau penjaga pula hanya dibenarkan menghantar pelajar sehingga ke pintu pagar, selain tidak dibenarkan mengadakan sebarang lawatan buat sementara waktu.

Pengurusan Maahad Tahfiz juga perlu melakukan sanitasi premis sekolah dan asrama secara menyeluruh dan memenuhi piawaian yang disahkan Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa.