Saturday, 6 March 2021

updated 2:25 PM UTC, Mar 6, 2021

Gagal patuh penjarakan fizikal, punca kes positif COVID-19 negara tinggi

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 24 Januari - Kegagalan orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal menjadi punca kes jangkitan COVID-19 kembali meningkat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kealpaan rakyat apabila Prosedur Operasi Standard (SOP) dilonggarkan selepas berjaya menurunkan statistik kes aktif pandemik berkenaan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyaksikan negara kini dalam gelombang ketiga penularan pandemik itu.

Menurut beliau, sewaktu pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu, hampir semua rakyat patuh dan pelanggaran SOP amatlah kurang.

Namun selepas kerajaan mula memberi kelonggaran secara beransur-ansur seperti membuka sektor ekonomi dan aktiviti sosial (kenduri dan aktiviti sukan) menyebabkan rakyat mungkin berasa sudah selamat daripada COVID-19.

Walaupun arahan pemakaian pelitup muka dipatuhi namun aktiviti berkumpulan secara besar-besaran tetap berlaku.

Malah hampir setiap hari terutama pada hujung minggu terdapat banyak tangkapan membabitkan aktiviti yang tidak mematuhi penjarakan fizikal termasuk di kelab hiburan.

Justeru tambahnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif, advokasi dan peraturan baharu yang menyaksikan rakyat Malaysia hampir setiap hari dimaklumkan secara langsung perkembangan terkini COVID-19 oleh dirinya dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tanggungjawab untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 kini adalah tanggung jawab bersama.

Tambah beliau, apa yang boleh dilakukan kerajaan ketika ini adalah memberi nasihat dan peringatan agar SOP dipatuhi.

Seterusnya tindakan undang-undang dan yang paling penting adalah kesedaran diri.