Sunday, 7 March 2021

updated 1:54 AM UTC, Mar 7, 2021

PKP: Solat Jumaat di Kedah dibenar, maksimum 50 jemaah

  • Published in Berita Semasa

ALOR SETAR, 20 Januari- Berikutan pelaksananan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal berkuat kuasa di Kedah Jumaat ini, pelaksanaan solat Jumaat hanya dibenarkan dengan maksimum 50 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Kenyataan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Mohd Yusri Md Daud memberitahu, bagi solat fardu pula, hanya lima pegawai atau ahli jawatankuasa masjid dan surau dibenarkan mendirikan solat secara berjemaah.

Individu berusia 12 tahun ke bawah dan yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak dibenar memasuki premis masjid atau surau.

Solat Jumaat tidak harus melebihi 45 minit bermula dari azan hingga selesai solat, sementara solat fardu pula tidak harus melebihi 20 minit.

Program keagamaan juga tidak dibenarkan.

Masjid atau surau yang melanggar atau tidak mematuhi arahan berkenaan boleh ditarik balik kebenaran melaksanakan aktiviti yang dinyatakan.

Manakala perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk ditangguhkan bermula 22 Jan ini hingga tamat PKP.