Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

DS Ahmad Faizal Azumu letak jawatan sebagai MB Perak

  • Published in Berita Semasa


IPOH, 5 Disember- 
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu berkata, beliau telah menyembahkan warkah peletakan jawatan itu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semasa menghadap baginda di Istana Kinta, petang tadi.

"Saya telah sampaikan surat peletakan jawatan saya kepada Sultan dan pejabat Tuanku akan tentukan perkara berkenaan."

"Mengikut Perlembagaan, apabila seorang menteri besar letak jawatan, semua Ahli Majlis Exco juga telah gugur daripada jawatan," tambahnya lagi.

Mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Ipoh, beliau merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di Perak.

Beliau turut menasihati semua pihak agar kekal tenang dan berharap perjalanan pentadbiran dapat berjalan dengan baik.

Semalam, Datuk Seri Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan, hanya mendapat sokongan sepuluh undi berbanding 48 menentang.