Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Pemilik restoran nasi kandar cetus Kluster Sivagangga diarah fail pembelaan

  • Published in Berita Semasa

ALOR SETAR, 29 November - Pemilik restoran nasi kandar pencetus Kluster Sivagangga COVID-19, diarah fail pembelaan pada 21 Disember depan.

Ia susulan pemfailan saman oleh Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) pada 19 Ogos lalu.

Tempoh untuk pemilik restoran, Nezar Mohamed Shahbur Batcha, 57 tahun memfailkan pembelaan sepatutnya berakhir hari ini.

Mahkamah Tinggi Alor Setar melanjutkan tempoh selepas pihak peguambela yang mewakili CAKE menerima surat daripada peguam mewakili Nezar Mohamed Shahbur pada 26 Oktober lalu bagi memohon tarikh baharu memfailkan pembelaan.
 
Peguam mewakili CAKE, Mohammad Zunun Baihakky berkata, sekiranya tiada sebarang pembelaan difailkan pada tarikh baharu, pihaknya akan memohon mahkamah untuk memfailkan penghakiman ingkar terhadap Nezar.

Seterusnya, pihaknya akan mendapatkan perintah untuk menuntut saman RM1.5 juta serta perintah-perintah lain.  

Nezar Mohamed Shahbur telah dikenakan denda RM12,000 dan lima bulan penjara kerana melanggar perintah kuarantin di rumah pada 13 Ogos lalu.

Persatuan Pengguna Kedah yang mewakili kira-kira 200 penduduk yang terdiri daripada pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa mengemukakan tuntutan saman lebih RM1 juta terhadap pemilik restoran terbabit.