Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Banjir: Penduduk di kawasan berisiko ambil langkah berjaga-jaga

  • Published in Berita Semasa

27 November- Perkembangan banjir negeri-negeri.

23 individu daripada 10 keluarga di Labuan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat tanpa henti selama hampir 2 jam petang semalam mengakibatkan rumah mereka dinaiki air.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Ismail, 14 individu daripada tiga keluarga dipindahkan ke Dewan Balai Bomba Layangan.

Manakala selebihnya, menumpang di rumah keluarga dan saudara mara terdekat untuk sementara waktu.

Operasi menyelamat dan proses pemindahan penduduk terjejas diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan.

Di Perak - setakat pukul 4.00 petang, angka penduduk terjejas banjir direkodkan seramai 191 individu daripada 47 keluarga.

Kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, tiga PPS masih dibuka melibatkan tiga daerah.

PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Bagan Serai menempatkan angka penduduk terjejas banjir tertinggi di negeri itu, iaitu sebanyak 87 penduduk daripada 22 keluarga.

Sementara itu, di daerah Manjung dan Hilir Perak, PPS Sekolah Kebangsaan Kayan dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan menempatkan 104 penduduk daripada 25 keluarga.

Di Terengganu - angka penduduk terjejas terus menunjukkan peningkatan, dengan melibatkan 698 individu daripada 201 keluarga di 12 PPS.

Angka itu meningkat berbanding 347 penduduk daripada 98 keluarga di 10 PPS pada tengahari.

Peningkatan penduduk terjejas dengan dua lagi PPS dibuka kira kira 1 petang tadi di daerah Kemaman dengan 279 penduduk daripada 79 keluarga sekali gus menjadikan daerah itu paling terjejas dilanda banjir.

Empat lagi daerah masih kekal masing-masing Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, dan Marang.

Menerusi portal info bencana negeri, daerah Dungun merekodkan 361 penduduk daripada 104 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Daerah Kuala Nerus mencatatkan 27 individu daripada 9 keluarga di 3 PPS.

Kuala Terengganu pula kekal dengan 17 penduduk daripada 4 keluarga dan Marang juga kekal 14 penduduk daripada 5 keluarga dengan masing-masing ditempatkan di satu PPS sejak tengahari hari.

Di Kemaman, paras air sungai Air Putih yang mula melimpah sejak awal pagi berikutan hujan lebat memaksa penduduk Kampung Teladas dan Kampung Tanjung dipindahkan.

Sehingga tengah hari, lebih 300 penduduk daripada 80 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

Dua pusat pemindahan terbabit masing-masing di Dewan Orang Ramai Kampung Teladas yang menempatkan 157 penduduk manakala Dewan Sivik Kampung Air Putih seramai 142 penduduk.

Hulu Terengganu menjadi daerah tunggal yang belum membuka PPS.

Namun, penduduk di kawasan berisiko tetap bersedia menghadapi banjir setelah gelombang kedua melanda Terengganu bermula Isnin lalu.

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai mula membuat persiapan sejak September lalu.

Ini termasuk memindahkan harta benda ke tempat selamat serta menyediakan perahu sebagai persiapan untuk berpindah sekiranya air naik secara mendadak.

Sehingga kini, penduduk terjejas di tujuh daerah sudah ditempatkan di PPS.