Saturday, 23 January 2021

updated 8:52 AM UTC, Jan 23, 2021

Belanjawan 2021: Bukti ahli parlimen utamakan kebajikan rakyat

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA, 27 Nov - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan penghargaan terhadap ahli-ahli parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 sehingga ia diluluskan di peringkat dasar.

Jelas beliau, ini membuktikan kematangan ahli parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

Perdana Menteri menerusi kenyataan media memaklumkan, Belanjawan 2021 merupakan bajet terbesar dan penting kepada negara.

Peruntukan itu membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun depan, dengan teratur dan lancar.

Sokongan terhadap Belanjawan tahun depan itu membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional prihatin mengenai cabaran dihadapi rakyat.

Pada masa sama, bersifat terbuka mengambil pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi yang terkesan impak COVID-19.

Jelas Perdana Menteri, sokongan yang ditunjukkan ahli-ahli parlimen membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong untuk mereka mengetepikan "politiking" buat sementara waktu.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap usaha Menteri Kewangan dan Kementeriannya berjaya menyiapkan penggulungan Belanjawan dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Tan Sri Muhyiddin menegaskan, kerajaan PN ialah kerajaan yang bersikap terbuka menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan.