Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

YDP Agong kongsi kenangan indah bersama Maradona

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 26 November - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sedih ke atas pemergian legenda bola sepak dunia, Diego Maradona yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Argentina.

Baginda turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan juga seluruh rakyat Argentina di atas kehilangan 'anak emas' mereka itu awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Al-Sultan Abdullah turut bertitah Baginda pernah bertemu dengan Maradona ketika Anugerah Bola Sepak FIFA 2017 di Zurich dan terpesona dengan karisma serta personaliti bekas bintang Napoli dan Barcelona berkenaan.

Oleh kerana berkongsi minat dan kecintaan yang sama terhadap bola sepak, Baginda dan Maradona banyak berkongsi idea dan pandangan mengenai sukan tersebut.

Maradona dilabel sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman dan pernah menjadi kapten ketika membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 1986.

Dia yang turut beraksi buat Boca Juniors, Barcelona dan Napoli, turut diingati atas insiden 'Gol Tangan Tuhan' ketika Argentina menewaskan England di suku akhir Piala Dunia 1986.