Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

Pusat Internet Komuniti diperkasa, keperluan penguna diutamakan

  • Published in Berita Semasa


KUALA LUMPUR, 21 November- 
Bagi memastikan keperluan penduduk setempat dan golongan pelajar untuk mendapatkan perkhidmatan internet tercapai, proses pemerkasaan Pusat Internet Komuniti (PIK) akan dilaksanakan di seluruh negara.

Melalui proses tersebut, masalah kekurangan alat peranti, kemudahan internet mahupun keselamatan pelajar untuk menimba ilmu dalam talian dapat ditangani.

Berdasarkan kenyataan media oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), penggunaan PIK juga akan dipertingkat melalui pertambahan kandungan atau kursus.

Bantuan juga diberikan dalam aspek pembungkusan dan pemasaran produk usahawan tempatan.

Menurutnya lagi, penularan pandemik COVID-19 juga mempercepat pembangunan teknologi Four-IR dan pelaksanaan ekonomi digital.

Ia terbukti apabila potensi Revolusi Industri 4.0, Four-IR yang dipacu dengan teknologi kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan Internet of Things turut digunakan dalam aktiviti pengeluaran, perkhidmatan dan perniagaan.

Malah, penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini turut mencerminkan keseriusan kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi digital bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi 4-IR.

Dengan adanya kesalinghubungan digital yang inklusif dan mantap, akan dapat menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar negara, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.