Saturday, 24 October 2020

updated 8:47 AM UTC, Oct 24, 2020

COVID-19: Kadar kebolehjangkitan berkurangan

  • Published in Berita Semasa


PUTRAJAYA, 18 Oktober- 
Kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 atau nilai R-naught (R0) kini berkurangan kepada 1.5 berbanding ketika permulaan gelombang ketiga pada 2.2.

Dalam sidang media di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada Julai lalu, nilai R0 mencatat sifar namun meningkat 1.7 sejak 7 September lalu susulan peningkatan kes positif di Kedah dan Sabah.

"Gelombang ketiga wabak COVID-19 di Malaysia ini sememangnya lebih mencabar walaupun kita lebih bersedia dari segi kapasiti dan tindakan kesihatan awam yang dijalankan."

"Nilai R0 pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September 2020 adalah 2.2."

"Tetapi dalam tempoh empat minggu ianya telah menurun kepada 1.5."

"Ini bermakna, setakat ini, usaha yang dijalankan telah dapat mengelakkan daripada peningkatan kes secara mendadak."

Susulan itu, Kementerian Kesihatan menjangkakan kes harian COVID-19 kekal meningkat tetapi bukan secara mendadak.

Ia berikutan garisan unjuran nilai R0 di negara adalah 1.5, walaupun jumlah kes dilaporkan setiap hari.

Tan Sri Dr Noor Hisham juga memaklumkan, jika rantaian jangkitan dapat diputuskan, ianya akan mengawal penularan dan nilai R0 juga akan turun lebih rendah daripada 1.0 sehingga kurang daripada 0.3.

Sebagai contoh jika nilai R adalah empat, bermakna setiap seorang kes positif boleh menyebarkan penyakit kepada empat invdividu lain dalam satu tempoh kebolehjangkitan.