Logo

Kesedaran awal kanser payudara elak situasi lebih buruk

PADANG BESAR, 18 Oktober - Masyarakat disaran agar memahami kepentingan mengenai tanda dan gejala awal kanser payudara, dengan melakukan ujian saringan serta mendapatkan rawatan awal.

Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 mendapati, kanser payudara merupakan kanser utama yang dialami wanita Malaysia yang meliputi 34.1% kes kanser dan hampir separuh iaitu 47.9% daripada pesakit dikesan lewat iaitu pada tahap tiga dan empat.

Data berkenaan menunjukkan sesuatu yang membimbangkan dan perlu disedari masyarakat terutamanya wanita.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyempurnakan simbolik pelancaran Bulan Kesedaran Barah Payudara Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi Zon Padang Besar di Klinik Kesihatan Padang Besar.

Tambah baginda, sekiranya seseorang wanita mempunyai gejala antaranya terdapat ketulan atau bengkak pada payudara atau bawah ketiak, perlulah segera berjumpa doktor.

Setiap tahun, bulan Oktober merupakan Bulan Kesedaran Kanser Payudara dan reben berwarna merah jambu dengan kempen 'Pink October' merupakan simbolik dalam meningkatkan kesedaran rakyat tentang bahaya kanser payudara dan keperluan untuk mendapatkan rawatan awal.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.