Tuesday, 27 October 2020

updated 9:22 AM UTC, Oct 27, 2020

Jerai Geopark akan terus diiktiraf UNESCO

  • Published in Berita Semasa

GURUN, 18 Oktober - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah yakin pengiktirafan Jerai Geopark dapat diperbaharui pada tahun depan kerana kawasan ini mempunyai geotapak bertaraf tinggi dari segi saintifik, budaya dan rekreasi.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata pihaknya bersedia dengan pelbagai maklumat pemetaan terperinci yang telah dikumpulkan hasil kajian selama 4 tahun.

Beliau menjelaskan, pemetaan terperinci di lapangan sedikit terganggu dan program bersama komuniti tidak dapat dilakukan dalam kelompok besar oleh kerana perlu mengikut Prosuder Operasi Standard (SOP) ketat COVID-19.

Komuniti Jerai Geopark juga perlu memberi sokongan dalam pembangunan Jerai Geopark bagi memudahkan proses penilaian dan memperbaharui pengiktirafan.

Katanya menerusi program Geoguide Jerai Siri1 yang diadakan baru-baru ini mampu menyatukan komuniti setempat bagi menimba ilmu dan mengenali Jerai Geopark dengan lebih dekat melalui penerangan ahli geologi berdaftar dan Malim geoguide berpengalaman.

Jerai Geopark telah dijadikan sebagai Projek Berimpak Tinggi oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk Rancangan Malaysia ke-12 dan diiktiraf sebagai Geotapak Kebangsaan pada 2017 di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).