Saturday, 24 October 2020

updated 9:53 AM UTC, Oct 24, 2020

Jabatan Bomba siap siaga air pasang besar di Selangor

  • Published in Berita Semasa

KAPAR, 17 Oktober - Kawasan berisiko air pasang besar di Selangor mengalami kenaikan paras air laut pagi tadi, namun keadaan masih terkawal dan tiada pemindahan penduduk dilakukan.

Lima daerah di Selangor diramal akan dilanda fenomena air laut pasang besar termasuk daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Tinjauan Krew RTM Selangor di Pengkalan Nelayan Tok Muda di Kapar Selangor mendapati berlaku sedikit limpahan air.

Bagaimanapun, aktiviti nelayan berjalan seperti biasa setelah air kembali surut.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, paras air laut meningkat namun tidak membimbangkan pada ketinggian 5.7 meter pukul 6.11 pagi tadi.

Beliau menjelaskan, kemungkinan esok ketinggian paras air laut akan naik ke paras 5.8 meter.

10 balai bomba dan penyelamat telah bersiap siaga di lima daerah yang terlibat.

Sebelum ini, Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangkakan kejadian air pasang besar akan berlaku di antara pukul 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.