Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Kerajaan laksanakan PKPDB di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA, 28 September - Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Bersasar (PKPDB) Pentadbiran di empat kawasan di Sabah bermula tengah malam ini hingga 12 Oktober.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan terlibat adalah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna melibatkan lebih 900 ribu penduduk.

Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di daerah berkenaan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Melalui perintah ini, semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah berkuatkuasa.

Bukan penduduk dan pelawat juga tidak dibenarkan masuk ke empat-empat daerah terlibat termasuk semua laluan keluar masuk kawasan PKPDB ditutup.

Datuk Seri Ismail Sabri dalam kenyataan media berkata, semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan di kawasan berkenaan.

Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan COVID-19 di empat daerah itu dalam tempoh 1 September hingga semalam.

Daripada jumlah itu, Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau 634 kes, Kunak 65 kes manakala semporna 255 kes.