Tuesday, 27 October 2020

updated 9:22 AM UTC, Oct 27, 2020

Aktiviti pelepasan sisa bukan kumbahan dikesan

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 26 September - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Indah Water Konsortium (IWK) mengesan aktiviti pelepasan sisa terlarang ke dalam lurang pembetungan berdekatan Sungai Gong, Rawang, Selangor.

Melalui satu operasi bersepadu yang dijalankan itu, mereka telah mengenal pasti empat buah lurang pembetungan dan sampel air sisa di dalamnya telah diambil untuk ujian makmal bagi mengesan bahan buangan terlarang berkenaan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan SPAN, pihak IWK terpaksa menghentikan pelepasan efluen dan operasi pembersihan loji telah segera dilaksanakan di Loji Rawatan Kumbahan Rawang Integrated Industrial Park (GBK134) apabila kemasukan buangan bukan kumbahan ke dalam kebuk masuk loji dikenalpasti.

SPAN memandang serius terhadap mana-mana pihak termasuk industri yang membuang atau melepaskan air sisa bukan kumbahan ke dalam atau melalui sistem pembetungan.

Kesalahan tersebut boleh diambil tindakan melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Manakala pencemaran sumber air turut boleh diambil tindakan melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.