Logo

Pemotong rumput mati mengejut di pasar

DUNGUN, 25 September - Seorang pemotong rumput warga tempatan ditemui mati di sebuah pasar di Bandar Paka, Dungun, Terengganu malam tadi.

Mayat lelaki berusia 43 tahun itu ditemui terbaring di hadapan sebuah kedai menjual buah-buahan oleh seorang peniaga kira-kira pukul 9.30 malam.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersama seorang rakan wanitanya berteduh di pasar berkenaan berikutan hujan lebat.

Menurut saksi, Zariman Mohamed, 55 tahun, ketika kejadian dia sedang mengemas barangan di dalam kedainya sebelum memulakan jualan pagi ini.

Menurut Zariman lagi, sebelum itu dia terdengar satu bunyi dentuman sebelum melihat mangsa yang duduk di kerusi sudah jatuh terbaring di atas lantai.

Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Paka yang tiba di lokasi sejurus kemudian telah melakukan pemeriksaan lanjut, namun tidak menemui sebarang unsur perbuatan jenayah pada mayat mangsa.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Baharudin Abdullah ketika dihubungi RTM mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian serta siasatan lanjut.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.