Tuesday, 29 September 2020

updated 9:54 AM UTC, Sep 29, 2020

Banjir Sarawak : Hanya Stesen Sungai Salim B mencatatkan paras air melebihi aras bahaya

  • Published in Berita Semasa

SARAWAK, 16 September - Di Sarawak, setakat pukul 9 pagi, hanya satu stesen aras air sungai mencatatkan paras air melebihi aras bahaya iaitu di Stesen Sungai Salim B, Lembangan Sungai Rajang.

Berdasarkan data di laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Stesen Sungai berkenaan merekodkan bacaan 3.29 meter melebihi aras bahaya 3.10 meter.

Lima lagi stesen aras air sungai di Lembangan Sungai Rajang dan Sungai Baram mencatatkan paras air melebihi aras amaran iaitu Stesen Sarawak Maritime, Durin Bazaar, Ulu Sungai Merah, Long Teru dan Marudi.

Penduduk di kawasan berkenaan diminta agar sentiasa berwaspada.

Sementara itu, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas banjir di daerah Kapit dan Song.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, setakat ini, PPS di Stadium Tertutup Kapit masih menempatkan 84 orang membabitkan 25 keluarga manakala PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Embuau menempatkan 44 orang membabitkan 15 keluarga.