Logo

Banjir Sarawak : Dua PPS dibuka di Kapit dan Song

Kapit, 15 September - Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kapit dan Song bagi menempatkan penduduk terjejas banjir di daerah tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Sibu, Janggan Muling, di Kapit, PPS dibuka di Stadium Tertutup Kapit manakala di Song, PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Nanga Embuau.

Seramai 56 orang daripada 22 keluarga ditempatkan di PPS Stadium Tertutup Kapit manakala di Song, seramai 44 orang membabitkan 15 keluarga dari rumah panjang Kulleh, rumah panjang Kelau dan rumah panjang Erung ditempatkan di PPS SK Nanga Embuau.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit dan Song giat melakukan pemantauan bagi memastikan penduduk terjejas dalam keadaan selamat dan sedia dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Sementara itu, paras air di Kampung Long Bemang, Baram menunjukkan trend menaik pagi ini dengan cuaca mendung.

Ketua JBPM Zon Miri, Law Poh Kiong dalam kenyataannya memaklumkan, kawasan yang masih digenangi air melibatkan Blok Haleluyah sedalam 0.67 meter, Blok Hosana 0.57 meter, Blok Maranata 0.51 meter dan Blok Calvary 0.45 meter.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.