Monday, 28 September 2020

updated 11:57 PM UTC, Sep 27, 2020

Ubah sistem penyampaian perkhidmatan awam, jawatankuasa khas perlu dibentuk- PM

  • Published in Berita Semasa

JOHOR BAHRU, 15 Ogos- Satu jawatankuasa atau pasukan petugas khas perlu dibentuk, untuk meneliti dan mengubah Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai antara langkah bagi membantu memulihkan ekonomi negara dengan segera, menggunakan kaedah baharu.

Jelas Tan Sri Muhyiddin, jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab membuat pengubahsuaian tanpa kompromi, termasuk dari segi kewangan.

Tegas beliau lagi, anjakan birokrasi juga perlu dibuat bagi memudahkan pelbagai urusan orang ramai dengan kaunter perkhidmatan kerajaan, termasuk perlesenan dan kelulusan bangunan.

"Saudara adalah pegawai tertakhluk kepada peraturan-peraturan, setiap kerja yang kita uruskan ada perkara-perkara yang telah ditetapkan, ada pekeliling kewangan, ada pekeliling perkhidmatan, dan sebagainya."

"Sekiranya dikumpulkan arahan dan pekeliling tersebut, bertimbun-timbun jumlahnya."

"Saya tidak nafikan itu penting, tetapi kalau hanya berpandukan langkah sebegitu dengan tiada langkah baharu dibuat, saya khuatir untuk pulihkan semula ekonomi tidak akan berlaku."

Beliau berucap semasa Perjumpaan Sesi Town Hall Bersama Penjawat Awam Johor di Johor Bahru.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dokongan penjawat awam diperlukan bagi merancakkan ekonomi, menarik usahawan, pelabur dan pelawat, supaya ekonomi negara pulih dengan cepat.

Tan Sri Muhyiddin mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Johor.