Tuesday, 22 September 2020

updated 11:06 AM UTC, Sep 22, 2020

Program Dokumentasi Skuba larutkan Abu Al-Quran diadakan pada 26 Ogos

  • Published in Berita Semasa


KUALA LUMPUR, 15 Ogos- 
Program Dokumentasi Skuba melarutkan Abu Al-Quran yang rosak diadakan pada 26 Ogos ini di Pulau Tinggi, Mersing.

Ia merupakan salah satu pengisian utama di dalam program induk Aspirasi Merdeka Bayu Selatan 2020 anjuran Johor FM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tahun ini.

Ketua bahagian Rancangan Johor FM, Zahrinul Aini Sumery berkata, program dokumentasi itu adalah julung kalinya dilaksanakan bagi berkongsi maklumat kepada orang ramai tentang cara dan kaedah yang betul untuk melupuskan Al-quran yang telah rosak.

"Kita akan mulakan penggambaran atau proses dokumentasi bermula dari awal proses."

"Bermakna daripada proses pengumpulan Al-Quran yang telah rosak di masjid-masjid, sebelum Al-Quran berkenaan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor untuk dibakar, dilupuskan dan dibatakan menjadi satu bata abu, kemudian dibawa ke laut Pulau Tinggi untuk dilarutkan secara tertib hingga ke dasar laut."

Tambahnya, program melibatkan penyelam skuba seramai empat ahli skuba Johor FM bersama 11 kakitangan JAINJ.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAINJ, Ahmad Hanif Naim, masyarakat perlu sedar bahawa Al-Quran ini perlu dijaga kemuliaannya.

"Bukan hanya membacanya, cara penjagaannya, malah cara melupuskannya apabila rosak juga perlu dilakukan secara terhormat."

Proses melarutkan abu Al-Quran di dasar laut itu merupakan salah satu daripada beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk melupuskan Al-Quran yang telah rosak.