Saturday, 26 September 2020

updated 2:03 PM UTC, Sep 25, 2020

PRK DUN Slim: 23,094 layak mengundi

  • Published in Berita Semasa


TANJUNG MALIM, 15 Ogos-
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Ia melibatkan pertembungan antara Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43, yang mewakili BN, dan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftar secara rasmi.

Seorang lagi calon Bebas ialah S. Sentharasekaran, 44 tahun.

Pengumuman senarai calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris, kira-kira pukul 10.35 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, ditutup pada 10.00 pagi.

Kerusi DUN N.58 Slim diadakan selepas penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN) meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Allahyarham Datuk Mohd Khusairi memenangi kerusi ini pada PRU ke-14 2018 dengan majoriti 2,183.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab, melibatkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.