Wednesday, 30 September 2020

updated 12:44 AM UTC, Sep 30, 2020

PRK DUN Slim: SPR beri garis panduan cegah COVID-19

  • Published in Berita Semasa


KUALA LUMPUR, 14 Ogos- 
Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan.

Manakala individu yang diberi Perintah Pengawasan Pemerhatian (PUS) dan Bergejala Dalam Rawatan (PUI) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah untuk keluar ke pusat mengundi.

Itu antara garis panduan khas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim, Perak.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan memaklumkan, ia menekankan pematuhan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan proses saringan suhu badan.

Jelasnya, garis panduan dikuatkuasakan untuk semua proses pilihan raya, taklimat petugas, penamaan calon sehingga penjumlahan rasmi undi.

Antara garis panduan lain, setiap calon yang bertanding dibenarkan membuka bilik gerakan parti dengan pematuhan ketat garis panduan.

Bagi aktiviti ceramah, jumlah kehadiran peserta tidak dibenarkan melebihi 20 individu dan perlu mendapat permit daripada pihak polis.

Pihak SPR juga akan memantau semua aktiviti calon melalui dua pasukan pemantau kempen pilihan raya.

Garis panduan khas akan dikemaskini selaras arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 (akta 342).