Friday, 25 September 2020

updated 2:03 PM UTC, Sep 25, 2020

Termometer infra merah tanpa sentuh selamat digunakan

  • Published in Berita Semasa

CYBERJAYA, 8 Ogos - Termometer Infra Merah Tanpa Sentuh tidak mengeluarkan sebarang radiasi berbahaya dan selamat untuk digunakan.

Ini kerana peranti tersebut hanya berfungsi mengesan dan mengukur haba yang dikeluarkan daripada sesuatu objek dan tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan manusia.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan atau MDA, sedang membangunkan laman carian khusus untuk pengguna membuat pengesahan kesahihan peranti perubatan mereka.

Ketua Eksekutifnya Ahmad Shariff Hambali berkata pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan ketat dalam memastikan peranti perubatan seperti termometer menepati standard keselamatan sebelum sampai kepada pengguna.

Beliau menjelaskan perkara tersebut menerusi temubual eksklusif bersama RTM.

Sebelum ini tular di media sosial berhubung isu termometer infra merah tanpa sentuh yang dikatakan mendatangkan kemudaratan kepada fungsi otak.

Dalam pada itu, beliau mengakui wujud pertambahan jumlah jenama termometer di pasaran susulan situasi pandemik COVID-19, termasuk produk yang tidak berdaftar dengan MDA.

Pemeriksaan ke atas pengedar peranti perubatan, dan siasatan terhadap aduan yang diterima melalui orang awam juga dilakukan dari semasa ke semasa.