Sunday, 27 September 2020

updated 2:45 PM UTC, Sep 27, 2020

Keputusan permohonan DS Najib batal pertuduhan pinda laporan 1MDB didengar Isnin depan

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Keputusan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan pertuduhan pindaan kes pinda laporan audit 1MDB terhadapnya akan didengar Isnin depan.

Prosiding sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan, selepas pihak pembelaan menghantar e-mel kepada mahkamah untuk memaklumkan supaya keputusan itu didengar pada minggu hadapan.

E-mel berkenaan dihantar pihak pembelaan kepada Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas, semalam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkaitan kes pindaan laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan pindaan kepada tuduhan berkenaan yang dibuat oleh ketua pendakwaaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak menyebabkan prejudis kepada tertuduh.

Hanya tujuh saksi pendakwaan sudah memberi keterangan dan mereka belum diperiksa balas sepenuhnya oleh pihak pembelaan.

Sementara itu, pendengaran permohonan pihak pembelaan bagi membatalkan Datuk Seri Gopal Sri Sram sebagai ketua pihak pendakwaan bagi kes 1MDB juga akan didengar 16 Oktober nanti.