Sunday, 27 September 2020

updated 2:45 PM UTC, Sep 27, 2020

Anjing peliharaan serang wanita, nelayan mengaku bersalah cuai

  • Published in Berita Semasa


AYER KEROH, 7 Ogos- 
Seorang nelayan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas didapati cuai hingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang wanita bulan lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Liew Sea Hai, 43 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan Liew dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda, manakala anjing peliharaannya diserahkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk tindakan susulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan cuai menyebabkan haiwan peliharaannya mencederakan Purba Evita Kristina, 23 tahun, di Taman Tanjung Minyak Perdana pada 9.30 malam, 27 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan hukuman buat anak guamnya kerana sudah menyesal dan anjingnya sudah dirantai.

Media sebelum itu melaporkan, seorang wanita cedera pada 29 Julai lalu selepas diserang dan digigit anjing peliharaan ketika berjalan di sebuah kawasan perumahan di Tanjung Minyak.

Video mengenainya tular menunjukkan seekor anjing keluar dari sebuah rumah dan menyerang mangsa sebelum diselamatkan jiran.