Monday, 28 September 2020

updated 11:57 PM UTC, Sep 27, 2020

Rekod palsu, penyiasatan jenayah siber terencat

  • Published in Berita Semasa


BUKIT AMAN, 7 Ogos- 
Syarikat telekomunikasi digesa memastikan pendaftaran nombor telefon dilakukan mengikut proses yang betul.

Tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, tindakan itu dapat membantu menangani risiko jenayah siber yang semakin meningkat.

Jelas beliau, terdapat syarikat telekomunikasi yang mendaftarkan nombor telefon pelanggan dengan maklumat palsu hingga menyukarkan siasatan polis jika berlaku penipuan dalam talian.

Setakat ini, masih terdapat 20,000 'kes sejuk' atau kes tertangguh disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

"Terdapat 14,000 kes jenayah komersil setakat ini. Ditambah dengan baki 22,000 ini, ia menjadikan jumlahnya sudah mencecah 36,000."

"36,000 kes ini harus diselesaikan segera demi keadilan dan pembelaan mangsa."

Beliau ditemui ketika Majlis Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang baharu Datuk Zainuddin Yaacob di Bukit Aman.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Hamid berharap Datuk Zainuddin dapat segera membuka semula kertas siasatan dan menyelesaikan baki kes jenayah komersial.