Logo

Lim Guan Eng nafi minta rasuah 10%


KUALA LUMPUR, 7 Ogos- 
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer.

Bagaimanapun, Guan Eng dalam rayuannya melalui peguam Gobind Singh Deo membantah jaminan RM2 juta yang ditawarkan dengan alasan sudah memberi kerjasama penuh dalam siasatan, walaupun diminta hadir oleh SPRM pada jam 10.00 malam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin serta pasport antarabangsa dan diplomatik diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya tertuduh tidak membuat sebarang komen subjudis membabitkan kes itu.

Hakim menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.