Sunday, 27 September 2020

updated 2:45 PM UTC, Sep 27, 2020

Kedah rancang bina universiti teknikal

  • Published in Berita Semasa

YAN, 6 Ogos - Kedah merancang untuk membina sebuah universiti teknikal awam di negeri itu.

Pembinaan universiti tersebut perlu kerana Kedah mempunyai kawasan industri berskala besar, selain sedang membangunkan beberapa kawasan industri baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kewujudan universiti teknikal bertujuan untuk melahirkan modal insan bagi memenuhi keperluan di kawasan industri.

Ia selari fokus kerajaan mewujudkan beberapa kawasan industri baharu di samping memperluaskan kawasan industri sedia ada.

Antara kawasan industri yang sedang dibangunkan termasuk Bandaraya Getah Kedah di Padang Terap, Taman Teknologi Tinggi Kulim, Taman Sains dan Teknologi Kedah serta Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam.

Bercakap kepada RTM di Yan, beliau berkata cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan ia mendapat reaksi positif daripada menteri berkenaan.

Ketika ini, Kedah hanya mempunyai universiti yang memfokuskan kepada bidang pengurusan iaitu Universiti Utara Malaysia yang terletak di Sintok dan Universiti Teknologi MARA, di Merbok.