Saturday, 15 August 2020

updated 11:57 AM UTC, Aug 15, 2020

COVID-19: Dua pelajar sekolah positif di Sabah bukan jangkitan di sekolah

  • Published in Berita Semasa


KOTA KINABALU, 29 Julai - 
Dua kes positif COVID-19 melibatkan pelajar sekolah rendah di Sabah bukan jangkitan di sekolah.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin, mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi RTM di Kota Kinabalu.

Menurut beliau, kes berkenaan dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melalui saringan di luar kawasan sekolah.

Seorang daripada pelajar terlibat disahkan positif oleh jabatan itu ketika mendapatkan rawatan di klinik berikutan kecederaan yang dialami di rumah.

Dr Mistirine bagaimanapun berkata, kesemua rakan sekelas dan guru kelas pelajar terlibat telah pun menjalani ujian calitan atau 'swab test' COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin.

Sementara itu, satu lagi kes positif pula melibatkan pelajar yang tidak hadir ke sekolah sejak sesi persekolahan awal tahun ini kerana masalah kesihatan.

Sehubungan itu, Dr Mistirine meminta semua pihak agar tidak menyebarkan berita tidak benar mengenai penularan COVID-19 di sekolah, kerana ia boleh menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi, dalam kenyataannya mengesahkan terdapat dua murid sekolah rendah disahkan positif COVID-19 melibatkan kes 389 dan 390.

Menurut kenyataan tersebut, kes 389 merupakan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, yang dirujuk dari klinik kesihatan dan dikesan positif semasa saringan kemasukan wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

Manakala kes 390 dilaporkan di Papar, melibatkan pelajar yang tidak hadir sekolah sejak awal tahun.