Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Penyediaan mi goreng dikenalpasti punca kes keracunan makanan di sebuah sekolah di Johor

  • Published in Berita Semasa

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor melalui Pejabat Kesihatan Kluang sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kes keracunan makanan di sebuah Sekolah Menengah Agama kerajaan Johor semalam.

Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan memaklumkan, siasatan itu meliputi kebersihan premis, pengusaha, pekerja serta faktor sekeliling.

Siasatan awal, katanya, mendapati punca keracunan disebabkan penyediaan mi goreng di kantin berkenaan.

Kira-kira pukul 10.20 pagi semalam, 120 pelajar sekolah dilaporkan mengalami simptom sakit perut, muntah, cirit-birit, demam dan loya sebelum dibawa ke klinik serta hospital.

Bagaimanapun, keadaan mereka stabil dan diberikan rawatan pesakit luar.

Ini merupakan kes pertama melibatkan keracunan makanan di sekolah, tahun ini.