Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Timbalan Menteri KKMM antara 14 penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS)

  • Published in Berita Semasa

KUALA PILAH - Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena Hari Keputeraan Ke-72 baginda.

Tuanku Muhriz turut berkenan menganugerahkan DPNS kepada 13 lagi penerima lain antaranya Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek dan Exco  Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Turut menerima darjah yang sama, Pengarah Pejabat Wilayah Majlis Sains Antarabangsa (ISC) untuk Asia dan Pasifik, Datuk Dr. Mazlan Othman.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar mengetuai senarai 444 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat bertempat di Balairung Istana Besar Seri Menanti.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SNSS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Terdahulu Tuanku Muhriz berkenan memeriksa kawalan kehormat sempena Hari Keputeraan baginda ke-72 di Padang Besar Seri Menanti.