Sunday, January 19, 2020
updated 2:44 AM UTC, Jan 19, 2020

Aplikasi 'Melaka eXcess' inisiatif rancakkan pelancongan negeri Melaka

  • Published in Berita Semasa

 

AYER KEROH - Aplikasi pelancongan rasmi negeri Melaka, 'Melaka eXcess' merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri bagi merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ia bukan sahaja menawarkan perkhidmatan sistem e-dompet, malah bakal menjadi pembantu peribadi pelancongan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pengguna.

Aplikasi itu juga memberi kemudahan kepada pengguna, untuk membeli-belah dalam talian selain sebagai panduan destinasi pelancongan menarik yang harus dikunjungi di negeri itu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, penggunaan aplikasi tersebut secara tidak langsung menyokong hasrat kerajaan ke arah negara pintar berteknologi tinggi.

Beliau juga menggalakkan penggiat industri di Melaka serta pelancong yang bakal mengunjungi negeri itu, memuat turun aplikasi Melaka eXcess bagi memudahkan perjalanan sepanjang bercuti di negeri bersejarah itu.

Aplikasi Melaka eXcess dijangka boleh dimuat turun di 'Play Store' dan 'Apps Store', bermula Mac ini.

Datuk Muhammad Jailani bercakap kepada media semasa menghadiri sesi ramah mesra pemain industri pelancongan bersama kerajaan negeri di Ayer Keroh, Melaka.