Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

100 pekerja LLPM berhimpun, mohon kerajaan campur tangan pelantikan pengendali pelabuhan Labuan Liberty Wharf

  • Published in Berita Semasa

LABUAN - Kira-kira 100 orang pekerja Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) berhimpun secara aman, membantah pelantikan bakal pengendali pelabuhan Labuan Liberty Wharf.

Mereka menggesa, kerajaan supaya campur tangan dalam pelantikan bakal pengendali pelabuhan itu.

Kebimbangan mereka adalah, dikhuatiri pelabuhan tersebut akan dikendalikan oleh syarikat luar yang akan melaksanakan kerjasama dengan syarikat tempatan di Labuan dan mempunyai agenda lain serta menjalankan aktiviti tidak sihat.

Petisyen bantahan dibacakan oleh wakil pekerja, dengan diiringi oleh petugas lain yang mempamer kain rentang dan sepanduk yang menggesa pihak atasan untuk mengambil berat berkenaan isu tersebut.

Pegawai Pengurusan LLPM, Azhar Othman yang turut serta dalam perhimpunan itu berharap, dengan inisiatif kumpulan pekerja tersebut, Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuan (LPA) dan kerajaan dapat mendengar rintihan mereka sekali gus membuat keputusan terbaik bagi menjaga kepentingan LLPM dan anak tempatan.

Mereka akui telah lama berkhidmat dengan LLPM bagi memastikan operasi berjalan lancar sejak sebelum LPA ditubuhkan.