Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

SPR perkenal penggunaan kamera video untuk memantau pilihan raya yang berlangsung

  • Published in Berita Semasa

KIMANIS - Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) akan memperkenalkan penggunaan kamera video di semua saluran mengundi pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis.

Penggunaan kali pertama ini, adalah sebagai salah satu usaha penambahbaikan pilihan raya yang cekap dan telus.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan kamera video tersebut adalah untuk merakam keadaan saluran dan memudahkan pihak SPR menyemak semula proses pengundian dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kamera video berkenaan dipasang di semua 68 saluran pengundian di Kimanis dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR.

Rakaman juga akan digunakan sebagai pemantauan kualiti dan sebagai rujukan untuk tujuan latihan dan penambahbaikan proses pilihan raya pada masa akan datang.

Datuk Azhar turut memaklumkan, penggunaan kamera video berkenaan tidak akan menjejaskan kerahsiaan pengundian memandangkan ia dipasang jauh dari petak undi.

Walaupun kamera video telah dipasang bagi tujuan pemantauan, kehadiran ejen calon di tempat mengundi adalah dikekalkan.