Sunday, January 19, 2020
updated 2:44 AM UTC, Jan 19, 2020

16 individu yang ditahan di sebuah kondominium Puchong, dibebaskan

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - 16 daripada 17 individu yang ditahan dalam serbuan polis ke atas sebuah kondominium di Puchong, Selangor telah dibebaskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, mereka dibebaskan dengan jaminan polis kecuali seorang lagi tahanan yang merupakan warganegara asing.

Jelas Tan Sri Abdul Hamid, hasil ujian saringan air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah.

Beliau turut menegaskan, tidak akan mendedahkan nama kesemua yang terlibat, kerana proses siasatan masih dijalankan.

Jelas beliau, kesemua tahanan turut menajalani ujian saringan air kencing kali kedua, dan keputusan masih belum diperolehi.

Ahad lalu, 17 individu termasuk enam orang wanita ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Puchong.

Serbuan dijalankan susulan maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian secara terbuka.

Hasil pemeriksaan di kondominium itu, polis menemui plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan satu piring kaca yang berisi dadah jenis sama seberat 0.3 gram.

Polis turut menjumpai sebatang rokok dibalut dengan daun kering dipercayai dadah jenis ganja serta beberapa daun terup dan cip dipercayai digunakan untuk permainan judi.

Tan Sri Abdul Hamid bercakap dalam sidang media khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Tegas beliau, ancaman dadah semakin menular dalam segenap lapisan masyarakat dan pihak berkuasa kini memberi tumpuan mengesan pengguna dadah dalam kalangan pegawai kerajaan.