Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

16 positif dadah dalam serbuan polis di sebuah kondominium dekat Puchong

  • Published in Berita Semasa

KUALA  LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penahanan 17 individu awal pagi tadi, dalam serbuan polis terhadap sebuah kondominium di Puchong, Selangor.

Ujian saringan awal air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah, manakala seorang lagi negatif.

Tan Sri Abdul Hamid bagaimanapun tidak mendedahkan nama kesemua individu terbabit kerana siasatan masih dijalankan.

Menurutnya, semua yang ditahan sudahpun dibebaskan dengan jaminan polis, kecuali seorang warga asing.

Enam daripada 17 yang ditahan itu adalah wanita.

Serbuan di lokasi terbabit dijalankan susulan maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian secara terbuka.

Hasil pemeriksaan di kondominium itu, polis menemui plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan satu piring kaca yang turut mempunyai dadah jenis sama seberat 0.3 gram.

Polis turut menjumpai sebatang rokok dibalut dengan daun kering dipercayai dadah jenis ganja serta beberapa daun terup dan cip dipercayai digunakan untuk permainan judi.

Tan Sri Abdul Hamid bercakap dalam sidang media khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Susulan ancaman dadah menular dalam segenap lapisan masyarakat, beliau turut menegaskan, tumpuan kini diberikan untuk mengesan pengguna dadah dalam kalangan pegawai kerajaan.