Friday, 7 August 2020

updated 4:04 PM UTC, Aug 7, 2020

Sidang Parlimen dijalankan ikut SOP

  • Published in Berita Semasa


KUALA LUMPUR, 13 Julai- Sebelum usul cadangan penggantian Speaker dewan yang baharu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, terdahulu telah mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat bagi sesi pagi.

Beliau memaklumkan pihak parlimen telah menyediakan sebenyak 11 Prosedur Operasi Standard (SOP) fasa pemulihan COVID-19 bagi mencegah penularan jangkitan.

Antaranya hanya 174 ahli yang berhormat dibenarkan duduk di ruang utama Dewan Rakyat dengan mengambil kira penjarakan sosial satu meter.

"Sebahagian daripada ahli penyokong kerajaan ditempatkan di galeri awam."

"Sebahagian ahli pembangkang ditempatkan di tempat duduk pegawai di sebelah kiri saya, di sebelah belakang."

"Pegawai kerajaan yang terlibat dengan urusan jawapan oleh Yang Berhormat Menteri dan Yang Berhormat Timbalan Menteri ditempatkan di tempat duduk pegawai di sebelah kanan saya dengan kehadiran yang terhad."

"Ahli yang duduk di galeri awam boleh menggunakan mikrofon yang disediakan di situ atau turun ke tempat yang dikhaskan di kerusi belakang dewan rakyat untuk pertanyaan atau perbahasan."

Langkah-langkah berkenaan juga penting susulan 87 ahli dewan sudah melebihi umur 60 tahun yang dikategorikan sebagai kumpulan berisiko.

Jelas Tan Sri Mohamad Arif, pelaksanaan SOP itu sudah pasti berlaku ketidakselesaan namun ia adalah untuk kebaikan semua pihak dan berharap ahli dewan mematuhinya.

Wakil Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah diumumkan sebagai Ketua Pembangkang mahu penyediaan mikrofon setiap ahli parlimen yang tidak berada di ruang utama dewan bagi memudahkan mereka berbahas dan bertanyakan soalan.

Perkara itu diambil maklum Yang Di Pertua Dewan Rakyat.