Friday, 7 August 2020

updated 4:04 PM UTC, Aug 7, 2020

Pendapatan Garis Kemisikinan guna metodologi pelbagai dimensi

  • Published in Berita Semasa


KUALA LUMPUR, 13 Julai - 
Kemaskini nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan baru-baru telah dilakukan menggunakan metodologi baharu bersifat 'pelbagai dimensi'.

Beberapa indikator seperti status pendidikan, kesihatan, dan kesejahteraan hidup mengikut kawasan bandar dan luar bandar juga diambil kira bagi mendapatkan data bersifat realistik mencerminkan komposisi sebenar populasi negara.

Menurut penganalisis ekonomi, Dr Madeline Berma, metodologi tersebut telahpun diterima pakai untuk mengukur median pendapatan isi rumah Malaysia menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Pendekatan pelbagai dimensi ini mengambil kira tiga perkara baharu."

"Yang pertama adalah pendidikan. Kedua, kesihatan dan yang terakhir adalah kesejahteraan."

Sungguh pun begitu, beliau tidak menolak hasil dapatan kajian menggunakan kaedah ini juga memerlukan banyak lagi penambahbaikan bagi mendapatkan gambaran sebenar garis kemiskinan semasa.

Turut ditekankan, pentingnya ketelusan di dalam melaporkan insiden kemiskinan dalam negara memandangkan data pendapatan isi rumah yang dikeluarkan akan menjadi asas kepada sesuatu polisi.

Terutamanya yang melibatkan peruntukan bantuan kewangan agar sampai kepada kelompok sasar.

"Ralat dalam mengukur insiden kemiskinan ini akan memberi gambaran yang silap kepada perancangan."

"Kewangan yang ada itu harus disasarkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan, inilah yang digelar pendekatan yang bersasar."

Beliau mengulas perkara tersebut menerusi temubual eksklusif bersama Berita RTM di Angkasapuri.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan menetapkan semula PGK kepada RM2,208 bagi seisi rumah berbanding kadar RM980 yang digunakan sejak tahun 2005.

Ia menjadikan jumlah isi rumah kategori miskin bertambah kepada 405,441 orang, berbanding 16,653 orang sebelum ini.