Friday, 7 August 2020

updated 4:04 PM UTC, Aug 7, 2020

Dewan Rakyat kembali bersidang hari ini

  • Published in Berita Semasa


KUALA LUMPUR, 13 Julai - 
Selepas Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu hanya berlangsung sehari dengan titah ucapan pembukaan dewan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dewan Rakyat kini kembali bersidang hari ini.

Selain usul pertukaran Speaker dan timbalannya, persidangan kali ini juga dijangka hangat kerana komposisi antara blok kerajaan dan pembangkang yang dikatakan hampir setara.

Sementara itu, sebelum Dewan Rakyat kembali bersidang, satu operasi sanitasi dijalankan di bangunan Parlimen oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut status di laman Facebook Parlimen Malaysia, operasi sanitasi itu diketuai Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Khairul Azuwan Ibrahim, serta 40 anggota bomba.

Kerja-kerja sanitasi ini antara pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen dengan mengambil kira kebiasaan baharu untuk memerangi pandemik COVID-19.

Operasi sanitasi dijalankan di Blok Utama Parlimen yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara meliputi setiap ruangan, termasuk tempat bersidang, lobi dan tangga.