Friday, 14 August 2020

updated 1:11 PM UTC, Aug 14, 2020

Sekolah agama Kedah tidak berdaftar perlu surat kebenaran beroperasi

  • Published in Berita Semasa


ALOR SETAR, 10 Julai- 
Kedah menetapkan semua sekolah rendah, madrasah atau pondok agama yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan perlu mempunyai surat kebenaran untuk beroperasi, pada sesi persekolahan yang akan dibuka semula bermula 15 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad, menegaskan, kegagalan mendapatkan surat kebenaran, akan mengakibatkan pengurusan sekolah dikenakan tindakan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bertanggungjawab mengeluarkan surat berkenaan melalui permohonan pentadbir sekolah agama.

Taklimat akan diberikan kepada pengurusan yang telah membuat permohonan dengan mengikut Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan.

"Saya kira pihak pentadbir akur dengan apa yang telah ditentukan oleh kerajaan."

"Saya yakin ia dapat dilaksanakan dengan baik."

Setakat ini 65 permohonan telah diterima setelah dibuka pada 7 Julai hingga semalam.

Walau bagaimanapun, katanya jika masih ada sekolah agama tidak berdaftar yang masih belum membuat permohonan, mereka boleh hadir ke Bahagian Pendidikan JHEAIK untuk memohon sehingga 14 Julai.

Dianggarkan terdapat 76 sekolah tahfiz, pondok dan rendah agama yang tidak berdaftar dengan JHEAIK.