Wednesday, 12 August 2020

updated 2:26 PM UTC, Aug 11, 2020

Datuk Shabudin dilantik Timbalan Menteri JPM pegang portfolio Parlimen dan Undang-undang

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 6 Julai - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang Datuk Shabudin Yahaya mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memegang poftfolio Parlimen dan Undang-Undang.

Istiadat yang berlangsung di Istana Negara itu dijalankan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Sumpah taat setia dilafazkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pengurniaan Surat Cara Pelantikan disaksikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan menteri kanan.

Datuk Shabudin Yahaya menggantikan Datuk Eddin Syazlee Shith yang mengambil alih portfolio Timbalan Menteri Kerja Raya susulan perletakan jawatan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Datuk Shabudin, 54 tahun, sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dan pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) serta Presiden Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP).