Wednesday, 12 August 2020

updated 2:26 PM UTC, Aug 11, 2020

Enggan hantar anak, sebuah kelas TABIKA Orang Asli terpaksa ditutup

  • Published in Berita Semasa


GUA MUSANG, 6 Julai- 
Masih terdapat ibu bapa kanak-kanak Orang Asli yang belum bersedia menghantar anak mereka ke kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) bimbang penularan wabak COVID-19.

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri Kelantan, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, daripada 464 pelajar, hanya 148 pelajar sahaja hadir ke 21 kelas yang dibuka sejak 1 Julai lalu.

KEMAS juga terpaksa menangguhkan pembukaan sebuah lagi kelas TABIKA Orang Asli di Gua Musang apabila kesemua ibu bapa enggan menghantar anak mereka ketika ini.

"Mulai 1 Julai ini, baru kita akan buka 21 kelas sahaja, melibatkan seramai 148 murid atau 31 peratus."

"Satu kelas di Pasir Linggi di Pos Lebir tidak dibuka buat masa ini sebab keseluruhan ibu bapanya tidak setuju lagi atau belum bersedia untuk hantar anak ke Tabika."

"Saya jangkakan selepas isu COVID-19 reda, mereka akan hantar balik semua anak mereka ke Tabika."

Beliau melawat Tabika Kemas Nur Najihah di Kampung Kuala Betis, Gua Musang.

Bagi ibu bapa yang lain, mereka yakin Prosedur Operasi Standard (SOP), adaptasi norma baru dan langkah kawalan yang dilaksanakan pihak sekolah mampu melindungi anak mereka daripada virus COVID-19.

"Kita yakin kepada cikgu kerana cikgu pernah mengajar anak-anak ktia. Kita serahkan kepada cikgu," jelas Engnangloy Apau, salah seorang ibu kepada murid.

Janneysan Jabbar, yang juga seorang petani, membuat persiapan dari rumah.

"Kami didik mereka di rumah tentang penjagaan kebersihan."

"Jadi bila hantar ke sekolah dia telah biasakan diri dengan langkah pencegahan penularan wabak COVID-19."

Sebanyak 746 kelas TABIKA melibatkan 5,886 pelajar di bawah seliaan KEMAS di seluruh Kelantan sudah dibenar kembali beroperasi.