3 Kes baharu COVID-19, kes aktif turun di bawah 100

PUTRAJAYA, 2 Julai - Hanya tiga kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, manakala kes sembuh dan dibenarkan discaj, 62 kes.

Jumlah kes aktif pula turun di bawah 100, kepada 85 kes. Hari ini juga tiada pertambahan kes kematian, menjadikan jumlahnya kekal 121 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan memaklumkan, daripada tiga kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan warganegara Malaysia.

Dua kes penularan di dalam negara pula, membabitkan bukan warganegara Malaysia.

Daripada dua kes bukan warganegara itu, satu melibatkan kluster Bukit Bintang dan satu kes baharu masuk ke lokap di Kota Kinabalu, Sabah.

Setakat ini, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8 ribu 643 kes, manakala kes sembuh; 8 ribu 437 kes atau 97.6 peratus daripada keseluruhan kes.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara, melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Orang ramai diminta terus kekal berwaspada dan mengamalkan nasihat kesihatan yang disarankan.