Logo

PRK Chini: Pengundi luar kawasan diseru pulang tunai tanggungjawab



PEKAN, 2 Julai -
Lebih 8,000 pengundi yang menetap di luar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini diseru pulang bagi menunaikan tanggungjawab, Sabtu ini.

Mereka antara 20,816 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil N23.

Selain itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengingatkan pengundi membawa kad pengenalan dan mematuhi SOP ditetapkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundi juga perlu keluar mengundi mengikut 'masa keluar mengundi yang digalakkan' seperti disarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cadangan masa mengundi itu bertujuan mengelak pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan sosial ketika berada di pusat mengundi.

"Kita merayu kepada semua pengundi luar daripada DUN Chini supaya balik mengundi."

"Datang mengundi awal, bawa kad pengenalan dan patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerana undi anda sangat penting."

"Ini adalah satu tanggungjawab bagi mereka."

Beliau menyatakannya selepas Kursus Penyembelihan Syarie, Taklimat Kursus Perkahwinan dan Seminar Fekah Wanita Peringkat Pahang di Felda Chini Timur 3.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.