Friday, 14 August 2020

updated 10:57 AM UTC, Aug 14, 2020

PRK Chini- Undi ikut masa yang digalakkan, kawal penjarakan sosial

  • Published in Berita Semasa


CHINI, 2 Julai - 
Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu ini, dinasihatkan keluar mengundi mengikut 'masa keluar mengundi yang digalakkan'.

Mereka diingatkan supaya tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir pada hari berkenaan.

Saranan itu dibuat, agar Prosedur Standard Operasi (SOP) ditetapkan, antaranya langkah penjarakan sosial dapat dipatuhi dengan sebaiknya.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, ia juga selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak COVID-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa.

Jelasnya, seramai 20,816 orang daripada 20,972 orang pengundi, layak mengundi pada Sabtu ini.

Manakala seramai 156 orang telah mengundi secara pos.

Beliau turut mengingatkan, bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

Kesemua pengundi termasuk yang berkemungkinan telah berpindah dan belum menerima kad pengundi turut disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran bagi membantu kelancaran proses pengundian.

Mereka juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.