Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

PRK DUN Chini: Kemenangan BN isyarat keyakinan pada PN

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA, 30 Jun - Kemenangan calon BN yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK DUN Chini, bakal memberi isyarat kepada rakyat, tentang keupayaan Perikatan Nasional, sebagai gabungan parti politik yang mampu bekerjasama menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

Presiden Bersatu; Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesepakatan dan kematangan parti-parti Perikatan Nasional untuk berkongsi pentas politik secara terbuka di PRK DUN Chini, satu langkah menjadikannya gabungan politik yang kukuh dan mantap.

Dalam kenyataan medianya, Tan Sri Muhyiddin berkata; PRK DUN Chini adalah pilihan raya pertama bagi Bersatu bersama gabungan kerajaan Perikatan Nasional.

Sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri, beliau menyokong penuh calon BN; Mohd Sharim Md Zain.

Justeru, bagi memastikan kemenangan pertama Perikatan Nasional, seluruh jentera akar umbi Bersatu Bahagian Pekan, telah digerakkan membantu calon pilihan gabungan itu.

Gerakan kempen diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin-pemimpin kanan Bersatu dari seluruh negara.

Tan Sri Muhyiddin turut menyeru 20,990 pengundi berdaftar di DUN Chini, agar memberikan sokongan padu kepada calon BN, pada hari pengundian Sabtu ini.

Pilihan rakyat, bukan sahaja bakal menentukan pembangunan dan masa depan Chini, tetapi akan membuka lembaran baharu kepada hala tuju politik di peringkat nasional.