Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

Mayat kelima bot karam ditemukan

  • Published in Berita Semasa

BACHOK, 30 Jun - Mayat kelima mangsa bot karam di perairan Bachok, Kelantan tiba di jeti Kemasin, pukul 2.18 petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten (M) Muhammad Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mayat mangsa Ahmad Shafiq Che Alim, 30 tahun dari Pasir Mas ditemui jam 7 pagi selepas terperangkap di ruang rehat bot di dalam bot berkenaan.

Menurut beliau, operasi mengeluarkan mayat mangsa menemui kesukaran berikutan keadaan yang gelap, sempit serta berada di kedalaman 40 meter.

Operasi dilakukan anggota selaman yang mengambil masa selama sejam.

Beliau memberitahu media selepas membawa pulang jenazah mangsa ke jeti Kuala Kemasin.

Mayat mangsa disahkan ahli keluarganya yang berkampung di sini sejak malam tadi.

Menurut Kepten (M) Muhammad Nur Syam, pihaknya terpaksa menunda bot berkenaan ke jeti Kuala Kemasin untuk membuat pemeriksaan lanjut kemungkinan masih ada mangsa terperangkap.

Ia juga bagi mengelak kemungkinan bot berkenaan tenggelam sekaligus menyukarkan operasi mencari tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui.

Ketika ini APMM menggerakkan pelbagai aset sedia ada termasuk pesawat Bombardier untuk melakukan tinjauan udara di lokasi yang telah ditetapkan.